Sunday, August 7, 2011

antara Ramādhan Mubārak, coup de foudre, dan perihal antaranya



Darihal Ramādhan mengundur ke coup de foudre, dalam kesibukan ranjau dan lelah hari-hari, banyak öykü yang berlalu tak terceritakan.

Oh, sudah setahun rupanya.

Sejak beberapa ketika lalu, saya gemar mengabadikan pandangan unik daripada lensa telefon genggam yang tak seberapa. Mungkin saya patut mulakan coretan berasaskan gambar peribadi?

Anda mahu, bagaimana?

Kredit gambar: http://www.linkmuslims.com/ramadan-mubarak
öykü: cerita [Turki]

Friday, June 25, 2010

Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir buat diriku sendiri.
Semoga ALLAH mengampuni masa lalu, dan merahmati masa depan, yang cerah, yang penuh ilmu dan pengalaman, yang lebih mematangkan.
Semoga dipermudah dan diterima segala amalan baik, dan dihalang segala keburukan.
Semakin dekat dengan penamat hidup, semakin wajib diambil peringatan!
Telah 23 tahun kuhabiskan, entahkan berapa lagi yang masih diizinkan.
Subhanallah, wal hamdulillah, wa la ila ha illallah, wallahu akbar, wa la hawla wa la quwwata illa billah…

Saturday, June 19, 2010

lelaki tua mencari menantu

Semalam, sambil menunggu makan malam, Abah bercerita lagi.

Kisah orang dahulu mencari menantu :)

Dikhabarkan pada suatu perjamuan kenduri, seorang tua sedang mencari menantu, suami kepada anak gadisnya yang sedang ranum di rumah. Dan yang dicarinya, ialah seorang lelaki yang tapak tangannya ber‘garam’, dalam istilah Kelantan, atau, kasar dalam bahasa Melayu kebangsaan.

Ini kerana, bergaramnya tapak tangan seorang lelaki itu, adalah kerana kuatnya dia bekerja keras, menebas menerung, mencangkul menggali, memukat mengail. Bertuahlah sesungguhnya pada zaman dahulu, jika mendapat suami dan menantu yang rajin sebegini. Dan pada pengalaman saya, zaman yang saya maksudkan sebagai dahulu ini, bukanlah terlalu lama, cuma mungkin lebih sedikit dari umur saya, sekitar tahun 80-an, 70-an dan ke atas. Sekarang pun, di kampung-kampung, jika bakal suami dan menantu itu kerjanya kerja kampung, di sawah dan di ladang, aturan ini masih dipakai lagi.

Lelaki tua ini mencari dengan cara menyalami setiap anak muda yang hadir, merasai kasar lembut setiap tapak tangan semasa bersalam.

Ditakdirkan, berjumpalah ia dengan yang bergaram tangannya. Maka disuruhnya duduk, “duduk mmeta awe…”

Dipendekkan cerita, berkahwinlah si pemuda dan anak gadis lelaki tua tadi.

Tinggallah serumah mereka, dan pagi esoknya, ketika Subuh, lelaki tua tadi terdengar ‘seghah-seghah’ persis orang menggosok-gosok dinding kayu dari dalam bilik pengantin, dan ditanya menantu barunya tentang apa yang sedang dilakukannya, “mu wak ggapo tu awe bbunyi seghah-seghah tu?”.

Dijawabnya, sedang mengukur dinding bagi menggantikan papan dinding yang telah usang, “ambo duk ngukur dinding ni ayoh, keno tuka doh bo kalih pape ni…”

Senyum ayahanda, rajin menantu baruku.

Beberapa hari kemudian, mungkin kerana kemarau, hampir keringlah telaga di belakang rumah, dan si menantu diminta turun tuk menggali sedikit lagi dan mengorek buang selut yang termendap di dasar telaga. Turunlah ia mengorek menggunakan sigai, dan setelah siap, dia memanjat keluar menggunakan sigai sampailah ke puncak sigai, melebihi paras telaga dan tanah. Lalu ditanya oleh ayahanda, kenapa sampai ke puncak sigai dipanjat, sedangkan sudah sampai ke paras telaga dan tanah, “guano awe panjak sapa ko pucok siga tuh?”. Dijawabnya, mahu melihat lembu kerbau ayahanda, ke mana lepas bebasnya, “nok tengok lembu kuba ayoh ni, duk mmano doh ni…”

Tersenyum lagi lelaki tua itu, baguslah, menantuku orangnya terpilih.

Alkisahnya, anda tahu di sebaliknya?

Di pesta perjamuan, pemuda tadi bergaram tangannya kerana tidak berbasuh selepas makan, dan makanan kering begitu sahaja di tapak tangannya.

Pada pagi hari, pemuda itu meraba-raba dinding rumah kerana tiada ia berjumpa akan pintu keluarnya.

Dan ketika di telaga, memanjat ia sampai ke puncak sigai kerana tiada ia berjumpa tebing telaga itu.

Anda sudah tahu kenapa?

Pemuda itu sebenarnya rabun!

Ia tidak berjumpa air basuhan tangan di kenduri, tidak berjumpa pintu bilik, dan tidak berjumpa akan tebing telaga. Kasihan.

Hari-hari seterusnya, saya tidak tahu apakah nasib mereka sekeluarga :)

Abah menceritakan, kerana adik saya yang bongsu suka benar membaca dengan sangat dekat antara mata dan buku. Jaga-jagalah mata ya :)

Sigai – tangga daripada buluh yang digunakan tuk memanjat ke tempat tinggi, seperti pokok kelapa, dan menuruni telaga.

medical check-up: tuan haji wahab

Saya mula mengenali Tuan Haji Wahab ketika saya ditugaskan untuk Urine Test pada hari pertama medical check-up lagi.

Anda gelak mendengar Urine Test ya? Percayalah, saya seronok dan teruja melakukannya :) Sekali lagi, celup-celup buang :)

Bersama Tn. Hj. Wahab, banyak yang saya sempat pelajari. Semestinya, bermula daripada prosedur Urine Test itu sendiri, daripada mengisi urine ke dalam Urine Bottle, mencelup, membaca kadar pertukaran warna alat pencelup sehinggalah menulis laporan Urine Test dalam setiap borang medical check-up pelajar.

Namun ada satu perkara yang tak akan saya lupakan.

Rasanya hari itu hari Rabu, 2 Jun, pagi, dan itu ialah slot pelajar perempuan. Sedang kalut melakukan Urine Test, ada seorang pelajar perempuan bukan bermuka Melayu datang kepada saya, dan Tn. Hj. Wahab ada di sisi saya, seperti kebiasaannya.

Pelajar itu bertanya kepada saya, atau mungkin kami:

Pelajar: What I’m supposed to do?

Saya dihinggapi syaitan, dan terus menyangka Tn. Hj. Wahab mungkin kurang fasih berbahasa Inggeris, lantas saya menjawab:

Saya: Well you are supposed to do the Urine Test.

Pelajar itu kaget dan sedikit terpinga-pinga. Memanglah dia datang untuk Urine Test kan?

Saya: OK, put all your belongings there – sambil menunjuk pada suatu sudut lantai – and go take your urine, quarter of the bottle. All right?

Tn. Hj. Wahab hanya diam dan terus sibuk melakukan Urine Test kepada sekelompok pelajar perempuan lain, yang melihat-lihat saya bercakap Bahasa Inggeris. Saya dihinggapi seekor lagi syaitan hitam, ada sum’ah di pinggir hati.

Selepas pelajar itu datang dengan botolnya yang telah terisi, tahulah bahawa dia hanyalah anak mami dari Pulau Pinang, tapi Bahasa Inggerisnya bagus untuk seusianya.

Selesai tugasan itu, dengan dua orang anak mami yang berbahasa ibunda penjajah :)

Esoknya, atau mungkin lusanya…

Tn. Hj. Wahab banyak bercerita kepada saya, sangat banyak yang dikongsi oleh beliau. Saya tidaklah terlalu kagum sebenarnya, sehinggalah beliau memberitahu saya tentang asal tempat belajarnya dahulu.

Kamu tahu di mana dia telah belajar dahulu? Seorang ahli makmal yang kerjanya melakukan ujian ke atas darah dan air kencing, juga mungkin najis di Klinik UIAM Gombak?

Ini kisah beliau…

Daripada lembut tuturnya mengisahkan kepada saya, beliau mula-mula melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, di Texas lebih tepat, dalam tahun-tahun 60-an, kemudian menyambung ke New Zealand, dan seterusnya Australia! Kamu bayangkan berapa ramai anak Melayu yang belajar di luar negara dalam tahun-tahun sebegitu?

Patutlah, dalam umur mencapai pertengahan 60-an, beliau tetap pakar bekerja.

Dan katanya lagi, “saya ni Sidqi, dah hampir separuh dunia saya pergi…”

Saya terlopong. Lalu beliau terus bercerita, sedang saya lantas malu pada keangkuhan dalam hati, yang pasport pun tidak pernah saya miliki :)

Beliau bukan menempelak saya, tapi bercerita pengalaman hidup. Saya belajar tentang kehidupan, tentang ilmu, tentang dunia, dan tentang perempuan dari seorang lelaki ini. Beliau bagaikan ayah, bagaikan datuk kepada saya.

Kepada saya, selain memanggil dengan nama saya, Sidqi, beliau juga memanggil ‘adik’ kepada saya terkadang-kadang :)

Terima kasih, Tuan Haji :)

Janganlah berlagak, wahai hati. Subhanallah wal hamdulillah.

Sum’ah : perasaan takbur dan riak serta bangga diri yang disebabkan oleh pertuturan lidah.

Thursday, June 17, 2010

ramai yang membaca

Alhamdulillah, ramai yang membaca coretan saya. Ramai jua yang memberi semangat untuk terus menulis.

Terima kasih kalian :)

penjual akhbar istimewa

Sabtu, 12 Jun 2010.

Setelah berjam-jam saya belajar tentang kehidupan yang belum pernah saya terokai, sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, yang akan saya kenang selagi diizinkan, saya sampai di bandar Kota Bharu ketika subuh hampir habis. Bergegas ke Masjid Al-Baroah di Pasar Siti Khadijah dan kemudian menunaikan tanggungjawab yang telah dijanjikan.

Saya balik dengan Abah pagi itu, dan sebelum saya ke tempat Abah menunggu, di balik rimbunan pokok di belakang Pizza Hut Kota Bharu, saya singgah di gerai akhbar di hujung bangunan Pejabat Pos di tengah-tengah bandar, berdekatan EON Bank. Tika hampir, saya terdengar penjualnya sedang bertutur dan susah payah saya menangkap butir bahasanya. Membayar harga Utusan Malaysia, RM 1.50, saya sekali lagi mendengar penjualnya bertutur, sedikit-sedikit mula saya fahami.

Tahulah saya, beliau mempunyai masalah bertutur, kemungkinan disebabkan penyakit yang baru dialaminya. Tuturannya seperti budak, susah difahami walupun susah jua beliau berusaha.

Saya insaf. Beliau yang mempunyai kekurangan, namun tetap berusaha.

Petang ini, akan saya singgah lagi di gerai akhbarnya.

medical check-up : PJ

31 Mei 2010.

Saya yang masih teragak-agak, berlari-lari anak ke Klinik UIAM. Dari mahallah saya, jarak relatifnya dalam 15-20 minit, dan saya agak terlewat.

Alhamdulillah, saya sempat. Pagi itu, yang saya kenali hanyalah Nadea, anggota Task Force Rakan Muda IIUM, yang lain semuanya jururawat UIAM dan doktor bertugas. Dengan bas UIAM yang pendek, kami bergerak ke Pusat Asasi UIAM PJ, dan tiba dalam perjalanan yang lancar.

Hari pertama, seperti kebiasaannya, memang sedikit kalut dan kurang teratur. Sister Hasnah yang mengetuai medical check-up ini.

Sekejap, saya rasa tulisan ini terlalu mendatar, dan kurang naratif, tak sedap. Urgh!

Baiklah. Sigh~

Hari pertama, saya digandingkan dengan Tuan Haji Wahab untuk Urine Test, seorang yang sangat menarik minat saya untuk berborak, penuh hikmah dalam penceritaan beliau.

Hari kedua, saya ke Visual Acuity Test, untuk ujian penglihatan. Seronok juga di sini.

Namun hari ketiga, keempat dan kelima, saya terus bersama Tn. Hj. Wahab, di meja Urine Test kami itu. Dan kami ada tagline sendiri, celup-celup buang :)

Hari keempat paling mengejutkan saya. Sungguh. Khamis 3 Jun 2010.

Pagi itu kami sampai pada pukul 7.22 pagi. Saya terus ke Al Malik Faisal Hall (AMF), tempat kami adakan medical check-up itu, sedangkan jururawat dan doktor berjalan-jalan ke Klinik UIAM PJ dahulu. Terkejut saya melihat sudah beratus-ratus pelajar menunggu, dan pagi itu sesi pelajar perempuan, kursus Engineering dan Information Communication Technology. Saya terus ke Klinik UIAM PJ mengambil kunci stor bagi memasang alat nombor giliran.

Sedang saya terkial-kial menarik alat tersebut ke pintu utama AMF, pelajar perempuan mula bangun dan mengerumuni saya. Saya buat-buat macho, ah senior kan.

Rupanya mereka tak endahkan saya, yang penting nombor giliran, ya nombor giliran!

Saya memasang alat itu lambat-lambat kerana pergerakan saya terhalang oleh kepungan mereka. Bingit dan sesak. Sempat saya berlelucon, bahawa saya ini lelaki – baca: sila berikan ruang tuk saya – dan saya katakan juga, bahawa mereka di Gaza pun tidak berebut sebegini menanti Mavi Marmara daripada Freedom Flotilla yang telah ditawan pada pagi dua hari sebelumnya.

Tak menjadi. Nombor giliran juga yang jadi pertaruhan. Buat barisan yang elok? Saya langsung tak berfikir mereka akan akur sebegitu.

Selesai memasang dan saya menekan nombor yang pertama, saya lantas diasak. Pagi itu, aduh, saya diserbu beratus-ratus pelajar perempuan yang lapar nombor. Saya meminta sedikit ruang keluar namun telinga mereka mendengar, “nombor, nombor, nombor!

Terpaksa menempuh, saya keluar dengan sedikit bebelan. Hahaha.

Ironisnya, pelajar lelaki kursus yang sama, pada keesokan harinya, sopan beratur hingga ke luar dewan. Saya sungguh tidak faham.

Namun cerita ini bukanlah mahu memburukkan sesiapa, cuma sebagai sedikit anekdot saya :)

Banyak kenangan di sini, beratus-ratus, malah beribu-ribu orang saya jumpa dan kenali di sini, di tempat di mana saya pernah menjadi dewasa, hampir lima tahun dahulu.

Akan saya tulis lagi, insyaAllah :)

impian yang tertunai pada suatu tengah malam

Apabila pelajar baru Pusat Asasi UIAM selesai mendaftar di Kampus Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya, saya menyangka khidmat saya telah selesai. Kepuasan jelas memekar apabila usaha saya membantu mereka tercapai. Sungguh tiada yang lebih saya inginkan, melainkan mereka dapat melanjutkan pelajaran dengan sebaik mungkin demi membantu diri, keluarga dan ummah ini.

Mereka pelajar baru itu, ada bertanya, untuk apa saya susahkan diri menjawab hampir kesemua soalan yang mereka ajukan, yang saya kira relevan. Saya tersenyum, dan menjawab, IIUM is among my deepest passions. Saya bukanlah menolong kerana berlagak baik, tapi saya membantu kerana saya bangga dengan mereka semua yang datang ke UIAM, di sini saya membesar, dan berharap, agar kamu semua juga membesar di taman ini.

Namun, tengah malam Ahad 30 Mei lalu, sempat saya bertandang ke bilik seorang kawan, Azfar, dan dia terus bertanya saya, adakah saya tidak sibuk pada esoknya, untuk menggantinya bagi menolong IIUM Health Centre (klinik UIAM) melakukan pemeriksaan kesihatan (medical check-up) bagi pelajar baru Pusat Asasi UIAM tersebut. Kebetulan memang saya tidak sibuk sepanjang hari esoknya, dan teruja dengan tawaran itu, saya terus bersetuju, tanpa banyak soal.

Syaratnya senang sahaja, saya mesti berada di Klinik UIAM pada jam 6.30 pagi esoknya, dan saya mesti bekerja mengikut keperluan yang akan ditetapkan. Pakaian bersesuaian, makanan disediakan, dan ada elaun. Tapi yang lebih menarik-narik minat saya ialah, saya berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan, yang walaupun jauh beribu batu daripada impian saya untuk menjadi doktor dulu, namun baunya, sekurang-kurangnya, tetap sama.

Walaupun tertidur kurang lebih pukul 2.30 pagi, saya berjaya bangun awal dan bersiap-siap ke Klinik UIAM.

Saturday, May 8, 2010

erti sibuk

Hari-hari dan bulan-bulan yang lepas sangatlah disibukkan dengan pelbagai tugasan. Tapi kini alhamdulillah saya mempunyai luang masa sendiri.

Tapi sibuk tak juga habis, masih lagi ada tugasan menunggu, terutamanya apabila mendapat pelawaan menulis buku, dan menyiapkan modul latihan untuk pendidikan abad baru.

Tapi dalam kesempatan yang ada, sempat juga membantu adik-adik yang akan ke Pusat Asasi UIAM nanti.

Selamat datang ke dunia yang sibuk :)

Sunday, January 3, 2010

isu penggunaan nama “ALLAH” dan keputusan mahkamah - suatu pandangan peribadi

Setelah sangat lama isu ini berlalu, dan saya dihimpit kesibukan yang sangat mendesak, maka akhirnya…

Pada saya, saya bersetuju bahawa kalimah ALLAH hanyalah untuk orang Islam dan agama Islam sahaja.

Kenapa?

Anda bacalah sendiri di internet pada tulisan mereka, terutamanya di http://rausyanfikir.com/

Baca dan nilai sendiri ye.

Oh ya, lagi satu, inilah padahnya pabila mereka yang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH pada ajaran sesat mereka.

image001

image002

image003

image004

image005

image006

image007

image008

image009

image010        

- ini diambil dari emel yang dihantar kepada saya, beberapa tahun lalu, dari Indonesia yang liberal.

Saturday, January 2, 2010

bukan berpihak kepada mana-mana

Acap kali saya ditanya, paling kurang dua kali secara serius.

Kamu PKPIM ke?”

Saya kaget, seketika, dan tersenyum.

Bukan, jawab saya.

Saya bukan PKPIM. Saya juga bukan KARISMA-JIM, bukan Hizbut Tahrir, bukan ABIM, bukan Pemuda Masjid. Bukan, saya bukan.

Jadi, apa? WUFI? Ma’ruf Club? GPMS? Kelab Wawasan? Saya hanya mampu tersenyum.

Pemuda PAS? Putera UMNO? Hahaha. Saya bukan pencandu politik.

 

Jadi kamu apa?

Baiklah. Saya menghormati PKPIM, KARISMA-JIM, Hizbut Tahrir, ABIM, Pemuda Masjid, WUFI, Ma’aruf Club, GPMS, Kelab Wawasan dan seangkatannya, sebagai badan pelajar yang aktif dalam arena masing-masing, yang sebahagian ideologi dan pergerakannya sesuai dengan jiwa saya. Ya, sebahagian, tidak semuanya.

Tapi saya bukan daripada mana-mana organisasi di atas, walaupun ramai kenalan saya yang aktif dalam semua yang tersebut.

Kenapa? Mungkin saya banyak masa sendiri. Saya belajar dan bekerja dalam golongan manusia yang berbeza, lantas saya kurang tumpuan pada suatu golongan sahaja. Namun, saya tetap menyokong usaha-usaha murni yang ada dalam organisasi tersebut yang bermatlamatkan hidup secara terancang selari agama.

Ada juga beberapa kali rakan menjemput saya menyertai pergerakan mereka. Namun saya mampu tersenyum. Saya akan datang untuk perjalanan yang baik-baik, cuma sehingga kini, saya lebih selesa duduk dan memandang dari luar.

Izinkan saya, ya.

Terkadang ada juga yang bertanya tentang pegangan saya. Ahlus Sunnah wal Jamaah? Salafi? Wahabi? Syiah?

Baiklah. Yang ini biar saya jelaskan.

Saya dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Saya bukan dari Salafi yang beriktikad Wahabi. Syiah langsung bukan.

Terjawab sudah kemusykilan anda?

Akhir kata, semua organisasi yang saya sebutkan di atas ditulis dalam unsur neutral tanpa berat sebelah dan sekadar menyatakan dengan jelas pendirian saya.

Nota.

PKPIM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

KARISMA-JIM – Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia-Jemaah Islah Malaysia

ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia

Pemuda Masjid – Dewan Pemuda Masjid Malaysia

WUFI – We Unite for Islam

GPMS – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Tuesday, December 29, 2009

“professor doktor”

Ini impian saya, seawal saya menginjak usia antara tujuh ke lapan tahun, juga mungkin antara sembilan ke sepuluh tahun, setelah saya memahami apa itu guru dan cikgu.

Tapi semasa itu, “professor doktor” belum saya fahami sepenuhnya. Dan sebenarnya, impian saya ketika itu ialah “pensyarah”, ya, “pensyarah”.

Mungkin sedikit janggal seorang kanak-kanak seawal usia saya yang dikelilingi rakan sebaya yang akan menjawab “cikgu”, “polis”, “askar”, dan mungkin “doktor” serta “peguam” untuk soalan yang sama, namun, selautan terima kasih saya tujukan kepada Abah dan Ummi.

Abah, lepasan kelas pertama dari Universiti Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah, Mesir dari 1978-1982, berjaya dalam Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Diploma Pendidikan, serta sempat belajar Sarjana selama setahun, yang akhirnya terpaksa ditinggalkannya penuh redha akibat kesempitan kewangan dari kampung halaman beribu batu jaraknya; serta Ummi yang dibesarkan dengan didikan arwah Tok Ayah dan arwah Mok, cukup mengajar saya tentang masa depan saat kecil usia.

Ummi dan Abah, sangat teringin melihat saya mendapat pendidikan tertinggi, dan saya dihantar ke sekolah terbaik pada hemat mereka. Saya sedar dan terharu, Ummi mahukan yang terbaik dalam hidup saya, dan Abah inginkan saya menyambung pelajaran terus ke Sarjana dan Doktor Falsafah, sebagai galang ganti nasibnya yang tidak kesampaian.

Daripada situlah bermulanya perjalanan saya mencari ilmu, yang makin dicari makin terasa kedaifan diri, dan makin terasa lebih banyak yang ingin diketahui.

Seingat saya, pertama kali saya berimpian mempunyai gelaran dan jawatan “Prof. Dr.” ialah semasa saya menukar nama di emel saya yang kedua, dan saya telah meletakkan “Prof. Dr. Sidqi” sebagai nama saya, namun akhirnya terpaksa diubah kerana mengelirukan penerima. Itu bertahun-tahun dahulu.

Baiklah, itu impian saya. Namun segalanya makin bermakna apabila pensyarah Sejarah saya yang pertama di UIAM, Assoc. Prof. Dr. Mesut Idriz, yang memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil bidang Sejarah dan Tamadun di UIAM, telah memanggil saya “professor” semasa di dalam kelasnya, Introduction to History and Civilization. Dan panggilan itu saya kenang sampai bila-bila, tambahan pula seorang rakan sekelas saya itu masih memanggil saya sebegitu, “professor”.

Pada 2007, saya berkesempatan menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Bahagian Alumni dan Khidmat Kerjaya UIAM [Alumni and Career Services Division] di Port Dickson, dan kami digandingkan bersama pelajar antarabangsa. Salah seorang daripadanya, berasal dari benua Afrika yang saya lupa namanya, juga memanggil saya sebegitu, “professor”.

Dan Selasa lepas, ketika sedang melayan cakap-cakap Soffiya sambil mengajarnya, dia terbaca suatu nama seorang professor doktor, dan lantas dia mengubahnya kepada “Professor Doktor Sidqi”, sambil meneriakkannya kepada saya dengan senyuman.

Indah. Alhamdulillah.

Ini bukanlah bangga diri, tetapi refleksi dan monolog yang saya zahirkan sebagai doa.

Amin.

Bacaan lanjut:

http://en.wikipedia.org/wiki/Professor

http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_of_Philosophy

http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_%28title%29

Tuesday, December 22, 2009

saya mahu beli universiti ini

Tadi dalam perjalanan pusing-pusing bandaraya Kuala Lumpur, saya berseloroh dengan si dia melalui telefon.

“Abang nak beli universiti ini”.

Dia tergelak bersetuju.

Beberapa bulan yang lalu, dalam suatu ceramah umum yang diadakan di sebuah pusat pengajian antarabangsa yang saya kagumi, penceramahnya memperkatakan bahawa universiti sekarang lebih tertumpu ke arah mengaut keuntungan, money making university, bukan lagi ummah strengthening university. Saya antara pendengar yang tergelak kuat, kebenaran yang sarkastik dan ironis.

InsyaALLAH jika ALLAH izinkan, saya betul-betul mahu membeli dan menaja universiti ini, supaya nanti semua ilmu dan pengetahuan tidak perlu melalui politic-ism, commercialism, dan capitalism, serta admin yang korup itu akan kerja makan gaji dengan saya.

Bagaimana?

Baiklah, sebenarnya saya masih lagi tersinggung dengan tindakan terdesak yang telah diambil, ditambah amarah akan cerita adik Nur Izzati Azahar, yang telah sebulan berlalu, tapi baru sekejap tadi sempat saya ketahui.

Teringat sistem kapitalisma yang acap kali saya pelajari, tentang bourgeoisie yang semakin angkuh kaya, dan proletariat yang semakin hina miskin.

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”. [Al-Baqarah: 261]

Capitalisms_Pyramid

Credit picture to http://uo.twenteenthcentury.com/images/a/ac/Capitalisms_Pyramid.jpg

 

pyramid-kap

Credit picture to http://marxistleninist.files.wordpress.com/2008/12/pyramid-kap.jpg

Tuesday, December 15, 2009

dipisah dan terpisah

Ini ceritera suatu petang saat bercandaan dan malamnya yang sangat kuingati – tentang mereka di LCCT.

Entah bagaimana, mereka berkenalan sekejap namun cepat akrabnya. Pernah, dan acap kali jua terdengar pesan-pesan orang tua-tua, “yang cepat datangnya, pergi pun cepat jua”.

Namun ini bukan suatu perasaan istimewa, mereka tidak bercinta. Tidak! Cuma terkadang, sayang dan cinta itu dipisahkan suatu garisan tipis yang amat halus. Mungkin.

Mereka berkenalan, cepat mesranya, dan bagaikan teman-teman lainnya yang sebebas burung berkicauan, mereka bergelak pada hari-hari yang berlalu, menangis dan tersenyum untuk jatuh bangun dalam hidup. Mereka akrab, antara teman terbaik pernah kulihat.

Tapi dalam hidup, untuk bahagia, banyak yang harus ditinggalkan, dan dia terpaksa memilih untuk meninggalkan temannya, temannya itu yang pernah menemani harinya.

Syukur temannya penuh mengerti bahawa dalam hati sebaiknya hanya ada satu, dan dengan penuh pengertian itulah, temannya mengukir senyum tawar, merelakannya pergi pada suatu kebahagiaan yang digapainya.

Dari suatu sudut, aku melihat mereka rancak berkata-kata dan tergelak, penuh kemesraan dalam persahabatan.

Dan kemudiannya, saat mereka harus berpisah, dia dan temannya beriringan ke kaunter masuk, dan sesuatu yang mencengangkan temannya berlaku. Ya, betul-betul berlaku di hadapan mataku.

Dia mendesak temannya pulang dan meninggalkannya di situ, lantas memberinya ruang untuk terus ke kaunter masuk seorang diri, namun temannya menolak. Mendesak dan didesak, dia berkata, “jika kau kuhantar pulang, bermaksud aku yang meninggalkanmu, tapi jika kau menghantarku dan melihat kupergi, itu kau yang meninggalkan aku”.

Temannya menolak, dan dia terpaksa mengalah. Dia melangkah lesu, diikuti pandangan mata temannya dan lambaian tangan. Seusai di kaunter masuk, dia memandang dari kejauhan dan melambai tuk kesekian kalinya, ke arah temannya. Sebak.

Aku yang melihat, menggumam bersuara, “lantas kenapa sebegitu kau perlakukan temanmu? Dalam lemah dia melihatku, “kerana aku khuatir akan perasaanku padanya, adakah seorang abang, teman, atau seseorang yang lain…”

Dari jiwaku yang memandang penuh penyaksian, kumengerti bahawa hati itu cuma satu, dan kebahagiaan itu diraih dengan memijak-mijak tanah yang terkorban.

Dan temanmu menitipkan pesan padaku, yang hari ini kusampaikan pesan temanmu itu, “jaga dirimu baik-baik, aku tetap di sini saat kau perlukan, semoga ALLAH merahmati dan menjagamu, teman baikku…”

Aku berpaling dan pulang, pada lambaian mereka yang terakhir.

pravs-j-feel-every-moment

LCCT, 13 Disember 2009, 8.15 malam.

Friday, December 4, 2009

sesuatu yang tertinggal

Dalam sibuk hari terhitung, nampaknya saya telah secara tak sedar tertinggalkan banyak perkara, ruginya.

Makanya, yang harus bangun dari lalai ialah saya, dan yang mesti berlari juga saya, kerana orang beriman itu tidak akan dipatuk ular dalam lubang yang sama untuk kali kedua.

Baiklah, terima kasih kepada yang masih setia menemani. Banyak cerita untuk kalian.

Nantikan :) [izinkan aku tersenyum]

Friday, October 30, 2009

ISTAC

Oh lamanya tak menulis.

Baiklah. Saya sedang menunggu bas tuk ke International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Ada ceramah umum tentang “Leadership” oleh seorang bekas pegawai atasan tentera. Moga-moga bermanfaat.

Nanti saya titipkan panduan ye, insyaAllah.

Tuesday, September 29, 2009

kemaskini emel

Ini ialah kemaskini blog melalui emel, dijanakan terus oleh Blogger, percuma! 

Monday, September 28, 2009

mencuba teknologi

Ini ialah kemaskini blog melalui sms, dijanakan oleh DAPAT, 15sen bagi 1 sms. Agak mahal mungkin? Tapi sedikit berbaloi kan ;-)

Tuesday, September 22, 2009

internet yang sangatlah perlahan

Semalam aku pinjam celcom broadband sepupu, nak cuba guna kat rumah, test power kejap. Tapi sayang line tersangatlah perlahan, sangat sekejap dapat HSDPA dan 3G, yang banyaknya dapat GPRS dan EDGE yang perlahan je. Bayangkan nak buka Gmail pun dalam 10 minit, padahal Gmail ialah servis emel yang paling ringan.

Aduhai~

Friday, September 12, 2008

pari-pari kecilku

Petang semalam di kafe HS, ketika sedang menunggu si dia, ada seorang rakan sekelas saya datang ke situ. Dia perempuan, isteri seorang artis nasyid. Bersamanya ada seorang kanak-kanak, perempuan dalam lingkungan setahun lebih umurnya. Saya kira itu anaknya. Sangat cantik!

Saya memerhatikan anak kecil itu memegang tangan ibunya, langkahnya sekejap melompat-lompat sekejap setapak-setapak. Lincah.

Tiba-tiba saya teringat akan Sabrina, gadis sunti yang pernah mencuri hati saya dengan pandangannya yang indah dan sentuhannya yang lembut.

Dua tahun lepas, saya berjumpa Sabrina di kampung, lantas saya jatuh hati dengan anak matanya. Tapi kemesraan saya terbatas.

'Aidiladha tahun lepas, kami berjumpa lagi, dan ternyata Sabrina cepat berubah. Dari seorang yang pendiam, Sabrina jadi matang dalam usianya. Pandangannya indah tatkala merenung saya, buat pertama kali dalam hidupnya. Dengan malu yang tebal, Sabrina tersenyum manis kepada saya dan menyorokkan kepalanya. Tapi itu tidak lama.

Sabrina cepat mesra dengan saya. Saya menyapanya, dan Sabrina menjawabnya dengan senyuman daripada bibir dan gigi. Saya menyapanya lagi, dan Sabrina mula menjawab dengan kata-kata, petah dan yakin.

Saya tersenyum di depan anak mata Sabrina, dan Sabrina ketawa.

Saya menghulurkan tangan kepada Sabrina dengan sopan, dan Sabrina tidak melarikan diri daripada saya, tetapi terus mendekati saya, setapak dan setapak.

Sabrina, yang saya kagumi, datang kepada saya dengan mata yang bercahaya.

Buat pertama kali dalam hidup kami, jari Sabrina saya sentuh, dan Sabrina, seperti biasa, akan menggelekek ketawanya.

Saya tarik Sabrina ke atas ribaan saya, sambil terus berkata-kata padanya. Sabrina setia mendengar, dan sesekali Sabrina akan mencelah kata-kata saya. Petah dan matang.

Sungguh saya jatuh hati pada Sabrina!

Malang keintiman kami tidak lama. Abang Sabrina, Izz, datang kepada kami, cemburu barangkali, dan terus mengganggu kami.

Aduhai~

Izz yang sangat aktif dan lincah itu, mendambakan perhatian saya kepadanya.

Saya mesti adil.

Saya hulur tangan pada Izz, dan saya peluk kedua-duanya di atas ribaan saya.

Apabila hampir berpisah, Izz dan Sabrina melambai kepada saya dan berkata, "jumpa lagi Pak Cik Qi..."

Saya senang akan kedua-duanya, Izz, anak sepupu saya yang baru berusia 6 tahun, dan adiknya Sabrina, hampir 3 tahun.

Hangat terasa menusuk dalam kalbu kisah saya dan Izz dan Sabrina.

Anak rakan sekelas saya tersenyum apabila namanya dipanggil, "Sarah...".

Anak-anak kecil yang suci dan indah. Tiada dosa, tiada noda, tiada cela.

Dan saya, mengimpikan anak-anak kecil itu, daripada rahim terpilih seorang perempuan bergelar isteri yang saya cintai, kerana pari-pari kecil yang indah itulah, pengikat kasih sayang kami, suami isteri yang bahagia. InsyaALLAH.

Saya mohon dan saya berdoa pada ALLAH.

Amin.