Saturday, June 23, 2007

Sirih Pulang Ke Gagang

Setelah dua tahun setengah meninggalkan Maahad dengan lima tahun kenangan, saya menerima jemputan ke Majlis Pertemuan Alumni Maahad Muhammadi, bertemakan “Sirih Pulang Ke Gagang : Menjulang Budi Menabur Bakti” di Taman Perbandaran Tengku Anis Kota Bharu, pada Sabtu, 16 Jun 2007 yang lepas, anjuran Persatuan Alumni Maahad Muhammadi Negeri Kelantan (AMAL).

Serentak dengan itu juga, saya sempat berkhidmat sebagai AJK Masakan & Makanan yang menguruskan slot bekwoh untuk makan tengahari, sangat meletihkan tapi amat bermakna, dan sehelai t-shirt hitam bercorak tepak sirih bertulis moto majlis merupakan cenderahati yang amat bernilai.

Majlis perjumpaan kali pertama ini sangat meriah dengan kehadiran beratus-ratus bekas pelajar dan diserikan dengan sukaneka, nasyid dan pertunjukkan silat oleh pelajar-pelajar Maahad. Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Nik Abd. Aziz bin Nik Mat pula sempat meluangkan masa berucap sekaligus merasmikan penutupan majlis perjumpaan kali pertama ini.

Terima kasih kepada semua, dan semoga jumpa lagi.



Maahad – Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Lelaki – SMU (A) MML

AMAL – persatuan alumni bagi tiga buah sekolah: SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki, SMU (A) Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, SMU (A) Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan.

Bekwoh - kenduri

“duk ngaji mmano llonih..?”

“duk mmano llonih..?”

“duk wak ggapo llonih..?”

“duk ngaji mmano llonih..?”

Kesempatan menghadiri majlis perjumpaan alumni kami gunakan sebaiknya untuk bertemu muka dengan rakan-rakan pelajar yang masih berada di tanahair dan juga guru-guru yang sangat banyak mendidik kami sepanjang berada di Maahad.

Apabila sahaja berjumpa, kerinduan dan kenangan yang terpendam bertahun-tahun terus berganti keramahan bagai dahulu. Saya sempat menangkap kelibat beberapa orang rakan yang tinggal di negeri-negeri luar Kelantan, datang dan sama-sama mewarnai majlis perjumpaan pertama ini. Cukup nostalgia.

Tatkala bersalaman dengan rakan yang lama tak dihubungi, tiada lain yang menjadi pembuka kata, selain bertanya khabar dan di mana belajar, kemudian barulah menyusul kemesraan lain.

Pada hari itu juga, saya sempat berjumpa dengan seorang guru saya semasa di tingkatan tiga, Cikgu Aziz, yang sangat kelakar dan hebat ilmu matematiknya. Semasa hangat perasaan meresap dalam genggaman tangan, tiada lain yang terucap dari lidahnya, melainkan bertanya perihal di mana dan apa yang saya pelajari sekarang.

Tapi sayang, saya tiada kamera untuk mengabadikan detik hari itu. Sedih, saya sangat sedih.





duk mmano llonih.. – tinggal (belajar) kat mana sekarang?

duk wak ggapo llonih.. – tengah buat apa sekarang?

duk ngaji mmano llonih.. – sedang belajar kat mana sekarang?

Friday, June 22, 2007

cikgu pencen

Balik ke kampung menemukan saya dengan banyak kisah menarik di sini. Antara yang membuatkan saya tersenyum ialah, kisah tiga orang cikgu pencen di sebuah kampung.

Bagai lumrah orang pencen yang kebosanan, mereka akan mula bergaul dengan masyarakat sekeliling dan menyibukkan diri dengan norma hidup berjiran di kampung.

Alkisahnya, pagi-pagi hari lagi, mereka akan memandu kereta dengan bangganya ke kedai kopi, memesan sepinggan nasi berlauk dan secawan teh panas, duduk semeja dengan rakan-rakan seangkatan, dan berbual sepagi terik berkenaan pelbagai topik, daripada politik, ekonomi, kemasyarakatan dan hal ehwal semasa, serta seronok-seronok bermain haji.

Tatkala tengahari, atau hampir Zuhur, barulah mereka mengangkat tangan, memanggil tuan kedai kopi, membayar dua ringgit, seringgit dua puluh sen untuk nasi berlauk dan bakinya untuk teh, kemudian melangkah keluar dan melaung “esok la pulok deh”, lantas memandu ke destinasi seterusnya.

Siapakah mereka? Bekas cikgukah? Bukan. Habis? Mereka hanyalah orang kampung, yang baru dapat memegang stering kereta pemberian anak-anak setelah separuh kurun didakap kesusahan.

Jadi, apa motifnya saya menceritakan ini?

Maaf, saya bukan berniat memburukkan mereka, tapi saya sedikit kecewa dengan sikap mereka yang suka membuang masa dan berborak tak tahu kepala ekor berjam-jam lamanya. Bagaimanakah mereka ingin terus maju jika kekal begitu? Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang berusaha untuk berubah.

Dan gelaran ‘cikgu pencen’ itu diberikan orang kampung atas sikap mereka itu.





kedai kopi – warung kopi

nasi berlauk – nasi campur

berbual – berborak kosong

sepagi terik – dari pagi hingga tengahari / Zuhur

bermain haji – bermain dam haji; dam haji – sejenis permainan yang dimainkan dengan pergerakan menegak dan mendatar

esok la pulok deh – (jumpa) esok la pula ye

tak tahu kepala ekor – tak tahu hujung pangkal

Thursday, June 14, 2007

terbayang wajah-wajah yang kusayang

Alhamdulillah. Tadi saya dapat 1 tiket bas Transnasional ke Kota Bharu, naik malam ni jam 9.15 di Taman Greenwood. Kelas ekonomi, RM30.80. Bas bernombor SKMK 214, seat 9B, tepi tingkap, agak bahaya sebenarnya tu. Doakan ye semua :)

Sekarang masih lagi di ITD Lab, barang tuk balik kampung sehelai pun belum berkemas lagi. Makan tuk hari ni pun belum lagi. Aduh.

Maghrib da kena bertolak, walaupun dekat, tapi tak nak ada masalah tengah jalan nanti.

Doakan perjalanan saya ye. Jumpa di Kota Bharu pula. Selamat tinggal kota sesak ini. Ahaks!

Wednesday, June 13, 2007

sangatlah letih

Banyak benda yang dibuat hari ini. Hasilnya, sangatlah letih. Ye, sangat letih badan sekeping ini.

Saturday, June 9, 2007

peperiksaan akhir semester 3 sesi 2006/2007

Minggu peperiksaan akhir semester 3 sesi 2006/2007 akan bermula pada Isnin, 11 Jun 2007 ini dan berakhir seminggu kemudian.

Untuk subjek Fiqh Sirah saya, peperiksaan akan diadakan pada hari Isnin, 11 Jun, jam 2.30 petang, di Kuliyyah of Engineering, dan subjek Introduction to Sociology pula pada hari Rabu, 13 Jun, jam 9.00 pagi di Foyer, Cultural Activity Centre (CAC).

Semoga kita semua berjaya ye :)

Amin...

mahal sangat ke harga beg plastik nipis tu?

Baru sekejap tadi, saya pergi ke satu kedai dalam kawasan kampus UIAM ni, untuk membeli topup, dan berkira-kira hendak meminta satu beg plastik nipis untuk disumbat bungkusan makanan di tangan saya.

Setelah membayar harga topup...

"Uncle, boleh mintak plastik tu tak?"

"Mana u beli tu?", merujuk kepada bungkusan makanan dalam pegangan saya.

"Kat atas sana"

"Diorang takde plastik ke?"

Saya rasa meruap, panas!

"Ntah la diorang"

"Macam mana ni sampai minta plastik sini.."

Dan tauke kedai tu, dengan muka terpaksa, menarik satu beg plastik, menghulurkannya kepada saya dengan muka masam.

Sumpah.. Saya rasa ingin campakkan kembali beg plastik itu pada mukanya. Tapi rasionaliti saya menegah. Saya mengambilnya dengan 'terima kasih' yang sangat ironik.

Saya tak akan pergi ke kedai itu lagi, insyaALLAH buat selamanya. Saya tak akan rugi apa-apa.

DR Radwan Jamal Al-Atrash pernah berpesan kepada kami dalam kelasnya, hampir seminggu lalu, katanya, "kalau anda mahu jadi kaya, anda mesti bersifat pemurah terlebih dahulu.."

Saya tersenyum keseorangan. Mungkin harga beg plastik itu RM 3.40, bagi tauke itu. Saya simpati padanya.