Friday, June 22, 2007

cikgu pencen

Balik ke kampung menemukan saya dengan banyak kisah menarik di sini. Antara yang membuatkan saya tersenyum ialah, kisah tiga orang cikgu pencen di sebuah kampung.

Bagai lumrah orang pencen yang kebosanan, mereka akan mula bergaul dengan masyarakat sekeliling dan menyibukkan diri dengan norma hidup berjiran di kampung.

Alkisahnya, pagi-pagi hari lagi, mereka akan memandu kereta dengan bangganya ke kedai kopi, memesan sepinggan nasi berlauk dan secawan teh panas, duduk semeja dengan rakan-rakan seangkatan, dan berbual sepagi terik berkenaan pelbagai topik, daripada politik, ekonomi, kemasyarakatan dan hal ehwal semasa, serta seronok-seronok bermain haji.

Tatkala tengahari, atau hampir Zuhur, barulah mereka mengangkat tangan, memanggil tuan kedai kopi, membayar dua ringgit, seringgit dua puluh sen untuk nasi berlauk dan bakinya untuk teh, kemudian melangkah keluar dan melaung “esok la pulok deh”, lantas memandu ke destinasi seterusnya.

Siapakah mereka? Bekas cikgukah? Bukan. Habis? Mereka hanyalah orang kampung, yang baru dapat memegang stering kereta pemberian anak-anak setelah separuh kurun didakap kesusahan.

Jadi, apa motifnya saya menceritakan ini?

Maaf, saya bukan berniat memburukkan mereka, tapi saya sedikit kecewa dengan sikap mereka yang suka membuang masa dan berborak tak tahu kepala ekor berjam-jam lamanya. Bagaimanakah mereka ingin terus maju jika kekal begitu? Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang berusaha untuk berubah.

Dan gelaran ‘cikgu pencen’ itu diberikan orang kampung atas sikap mereka itu.





kedai kopi – warung kopi

nasi berlauk – nasi campur

berbual – berborak kosong

sepagi terik – dari pagi hingga tengahari / Zuhur

bermain haji – bermain dam haji; dam haji – sejenis permainan yang dimainkan dengan pergerakan menegak dan mendatar

esok la pulok deh – (jumpa) esok la pula ye

tak tahu kepala ekor – tak tahu hujung pangkal