Monday, September 8, 2008

nasi dingin

Orang tua-tua berkata, tak elok makan nasi dingin, otak beku, lembab fikiran.

Tapi Abah, belajar sampai ke Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah, dan pernah antara 3 orang pelajar Melayu paling pandai, besarnya di kampung, selalu dengan nasi dingin.

Kata Abah, petang-petang balik sekolah, pergi ke dapur, buka periuk, kikis nasi dingin yang melekat pada periuk, dan makan, kadang-kadang dengan budu, kadang-kadang dengan sayur celur, kalau nasib baik, ada lagi ikan goreng pagi tadi.

Pagi-pagi sebelum dinihari, ketika letih menelaah, pun begitu juga Abahku.

Kitab-kitab Abah yang beratus buah di rumah, rasanya berkat Abah berjimat, dan mungkin nasi dingin jua hidangannya di Bumi Kinanah itu.

Tidak pula lembab fikiran Abahku itu, guru pertamaku.

Balik ke kampung, Ummi dan Abah, kadang-kadang menasihati kami, adik-beradik, tidak elok makan nasi dingin. Aku sedar bukan apa, hanya mereka inginkan yang terbaik untuk anak-anak ini, nasi yang masih panas meruap. Biarlah yang dingin itu mereka kunyah, pada mereka.

Tapi aku, anaknya yang sulung, terkadang degil.

Malam itu, selepas tengah malam, lapar datang meminta disuap.

Di dapur cuma ada nasi dingin.

Telur sebiji digoreng dadar kosong, dan semangkuk budu perahan asam limau nipis. Ape lagi yang menyelerakan tengah malam?

Nasi dingin disenduk daripada periuk, sejuk, dan telur dadar panas diletak di atasnya. Budu dicecah sambil gigi-gigi terus mengunyah.

Biarlah orang berkata akan lembab. Ini tradisiku. Cara hidup yang pernah mendewasakan Ummi dan Abah, nenekku dan datukku.

Nasi dingin, walau sejuk syahdunya hangat!





Sekitar 4 pagi, 31 Ogos 2008.

2 comments:

aisyahuseinrais said...

owh i love love nasi plus budu plus telur dada! sempurna =D. best sangat kan.

MuhammadSidqi said...

yup sangat kampung sangat mengharukan :)