Tuesday, December 29, 2009

“professor doktor”

Ini impian saya, seawal saya menginjak usia antara tujuh ke lapan tahun, juga mungkin antara sembilan ke sepuluh tahun, setelah saya memahami apa itu guru dan cikgu.

Tapi semasa itu, “professor doktor” belum saya fahami sepenuhnya. Dan sebenarnya, impian saya ketika itu ialah “pensyarah”, ya, “pensyarah”.

Mungkin sedikit janggal seorang kanak-kanak seawal usia saya yang dikelilingi rakan sebaya yang akan menjawab “cikgu”, “polis”, “askar”, dan mungkin “doktor” serta “peguam” untuk soalan yang sama, namun, selautan terima kasih saya tujukan kepada Abah dan Ummi.

Abah, lepasan kelas pertama dari Universiti Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah, Mesir dari 1978-1982, berjaya dalam Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Diploma Pendidikan, serta sempat belajar Sarjana selama setahun, yang akhirnya terpaksa ditinggalkannya penuh redha akibat kesempitan kewangan dari kampung halaman beribu batu jaraknya; serta Ummi yang dibesarkan dengan didikan arwah Tok Ayah dan arwah Mok, cukup mengajar saya tentang masa depan saat kecil usia.

Ummi dan Abah, sangat teringin melihat saya mendapat pendidikan tertinggi, dan saya dihantar ke sekolah terbaik pada hemat mereka. Saya sedar dan terharu, Ummi mahukan yang terbaik dalam hidup saya, dan Abah inginkan saya menyambung pelajaran terus ke Sarjana dan Doktor Falsafah, sebagai galang ganti nasibnya yang tidak kesampaian.

Daripada situlah bermulanya perjalanan saya mencari ilmu, yang makin dicari makin terasa kedaifan diri, dan makin terasa lebih banyak yang ingin diketahui.

Seingat saya, pertama kali saya berimpian mempunyai gelaran dan jawatan “Prof. Dr.” ialah semasa saya menukar nama di emel saya yang kedua, dan saya telah meletakkan “Prof. Dr. Sidqi” sebagai nama saya, namun akhirnya terpaksa diubah kerana mengelirukan penerima. Itu bertahun-tahun dahulu.

Baiklah, itu impian saya. Namun segalanya makin bermakna apabila pensyarah Sejarah saya yang pertama di UIAM, Assoc. Prof. Dr. Mesut Idriz, yang memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil bidang Sejarah dan Tamadun di UIAM, telah memanggil saya “professor” semasa di dalam kelasnya, Introduction to History and Civilization. Dan panggilan itu saya kenang sampai bila-bila, tambahan pula seorang rakan sekelas saya itu masih memanggil saya sebegitu, “professor”.

Pada 2007, saya berkesempatan menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Bahagian Alumni dan Khidmat Kerjaya UIAM [Alumni and Career Services Division] di Port Dickson, dan kami digandingkan bersama pelajar antarabangsa. Salah seorang daripadanya, berasal dari benua Afrika yang saya lupa namanya, juga memanggil saya sebegitu, “professor”.

Dan Selasa lepas, ketika sedang melayan cakap-cakap Soffiya sambil mengajarnya, dia terbaca suatu nama seorang professor doktor, dan lantas dia mengubahnya kepada “Professor Doktor Sidqi”, sambil meneriakkannya kepada saya dengan senyuman.

Indah. Alhamdulillah.

Ini bukanlah bangga diri, tetapi refleksi dan monolog yang saya zahirkan sebagai doa.

Amin.

Bacaan lanjut:

http://en.wikipedia.org/wiki/Professor

http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_of_Philosophy

http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_%28title%29

Tuesday, December 22, 2009

saya mahu beli universiti ini

Tadi dalam perjalanan pusing-pusing bandaraya Kuala Lumpur, saya berseloroh dengan si dia melalui telefon.

“Abang nak beli universiti ini”.

Dia tergelak bersetuju.

Beberapa bulan yang lalu, dalam suatu ceramah umum yang diadakan di sebuah pusat pengajian antarabangsa yang saya kagumi, penceramahnya memperkatakan bahawa universiti sekarang lebih tertumpu ke arah mengaut keuntungan, money making university, bukan lagi ummah strengthening university. Saya antara pendengar yang tergelak kuat, kebenaran yang sarkastik dan ironis.

InsyaALLAH jika ALLAH izinkan, saya betul-betul mahu membeli dan menaja universiti ini, supaya nanti semua ilmu dan pengetahuan tidak perlu melalui politic-ism, commercialism, dan capitalism, serta admin yang korup itu akan kerja makan gaji dengan saya.

Bagaimana?

Baiklah, sebenarnya saya masih lagi tersinggung dengan tindakan terdesak yang telah diambil, ditambah amarah akan cerita adik Nur Izzati Azahar, yang telah sebulan berlalu, tapi baru sekejap tadi sempat saya ketahui.

Teringat sistem kapitalisma yang acap kali saya pelajari, tentang bourgeoisie yang semakin angkuh kaya, dan proletariat yang semakin hina miskin.

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”. [Al-Baqarah: 261]

Capitalisms_Pyramid

Credit picture to http://uo.twenteenthcentury.com/images/a/ac/Capitalisms_Pyramid.jpg

 

pyramid-kap

Credit picture to http://marxistleninist.files.wordpress.com/2008/12/pyramid-kap.jpg

Tuesday, December 15, 2009

dipisah dan terpisah

Ini ceritera suatu petang saat bercandaan dan malamnya yang sangat kuingati – tentang mereka di LCCT.

Entah bagaimana, mereka berkenalan sekejap namun cepat akrabnya. Pernah, dan acap kali jua terdengar pesan-pesan orang tua-tua, “yang cepat datangnya, pergi pun cepat jua”.

Namun ini bukan suatu perasaan istimewa, mereka tidak bercinta. Tidak! Cuma terkadang, sayang dan cinta itu dipisahkan suatu garisan tipis yang amat halus. Mungkin.

Mereka berkenalan, cepat mesranya, dan bagaikan teman-teman lainnya yang sebebas burung berkicauan, mereka bergelak pada hari-hari yang berlalu, menangis dan tersenyum untuk jatuh bangun dalam hidup. Mereka akrab, antara teman terbaik pernah kulihat.

Tapi dalam hidup, untuk bahagia, banyak yang harus ditinggalkan, dan dia terpaksa memilih untuk meninggalkan temannya, temannya itu yang pernah menemani harinya.

Syukur temannya penuh mengerti bahawa dalam hati sebaiknya hanya ada satu, dan dengan penuh pengertian itulah, temannya mengukir senyum tawar, merelakannya pergi pada suatu kebahagiaan yang digapainya.

Dari suatu sudut, aku melihat mereka rancak berkata-kata dan tergelak, penuh kemesraan dalam persahabatan.

Dan kemudiannya, saat mereka harus berpisah, dia dan temannya beriringan ke kaunter masuk, dan sesuatu yang mencengangkan temannya berlaku. Ya, betul-betul berlaku di hadapan mataku.

Dia mendesak temannya pulang dan meninggalkannya di situ, lantas memberinya ruang untuk terus ke kaunter masuk seorang diri, namun temannya menolak. Mendesak dan didesak, dia berkata, “jika kau kuhantar pulang, bermaksud aku yang meninggalkanmu, tapi jika kau menghantarku dan melihat kupergi, itu kau yang meninggalkan aku”.

Temannya menolak, dan dia terpaksa mengalah. Dia melangkah lesu, diikuti pandangan mata temannya dan lambaian tangan. Seusai di kaunter masuk, dia memandang dari kejauhan dan melambai tuk kesekian kalinya, ke arah temannya. Sebak.

Aku yang melihat, menggumam bersuara, “lantas kenapa sebegitu kau perlakukan temanmu? Dalam lemah dia melihatku, “kerana aku khuatir akan perasaanku padanya, adakah seorang abang, teman, atau seseorang yang lain…”

Dari jiwaku yang memandang penuh penyaksian, kumengerti bahawa hati itu cuma satu, dan kebahagiaan itu diraih dengan memijak-mijak tanah yang terkorban.

Dan temanmu menitipkan pesan padaku, yang hari ini kusampaikan pesan temanmu itu, “jaga dirimu baik-baik, aku tetap di sini saat kau perlukan, semoga ALLAH merahmati dan menjagamu, teman baikku…”

Aku berpaling dan pulang, pada lambaian mereka yang terakhir.

pravs-j-feel-every-moment

LCCT, 13 Disember 2009, 8.15 malam.

Friday, December 4, 2009

sesuatu yang tertinggal

Dalam sibuk hari terhitung, nampaknya saya telah secara tak sedar tertinggalkan banyak perkara, ruginya.

Makanya, yang harus bangun dari lalai ialah saya, dan yang mesti berlari juga saya, kerana orang beriman itu tidak akan dipatuk ular dalam lubang yang sama untuk kali kedua.

Baiklah, terima kasih kepada yang masih setia menemani. Banyak cerita untuk kalian.

Nantikan :) [izinkan aku tersenyum]

Friday, October 30, 2009

ISTAC

Oh lamanya tak menulis.

Baiklah. Saya sedang menunggu bas tuk ke International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Ada ceramah umum tentang “Leadership” oleh seorang bekas pegawai atasan tentera. Moga-moga bermanfaat.

Nanti saya titipkan panduan ye, insyaAllah.

Tuesday, September 29, 2009

kemaskini emel

Ini ialah kemaskini blog melalui emel, dijanakan terus oleh Blogger, percuma! 

Monday, September 28, 2009

mencuba teknologi

Ini ialah kemaskini blog melalui sms, dijanakan oleh DAPAT, 15sen bagi 1 sms. Agak mahal mungkin? Tapi sedikit berbaloi kan ;-)

Tuesday, September 22, 2009

internet yang sangatlah perlahan

Semalam aku pinjam celcom broadband sepupu, nak cuba guna kat rumah, test power kejap. Tapi sayang line tersangatlah perlahan, sangat sekejap dapat HSDPA dan 3G, yang banyaknya dapat GPRS dan EDGE yang perlahan je. Bayangkan nak buka Gmail pun dalam 10 minit, padahal Gmail ialah servis emel yang paling ringan.

Aduhai~