Tuesday, December 29, 2009

“professor doktor”

Ini impian saya, seawal saya menginjak usia antara tujuh ke lapan tahun, juga mungkin antara sembilan ke sepuluh tahun, setelah saya memahami apa itu guru dan cikgu.

Tapi semasa itu, “professor doktor” belum saya fahami sepenuhnya. Dan sebenarnya, impian saya ketika itu ialah “pensyarah”, ya, “pensyarah”.

Mungkin sedikit janggal seorang kanak-kanak seawal usia saya yang dikelilingi rakan sebaya yang akan menjawab “cikgu”, “polis”, “askar”, dan mungkin “doktor” serta “peguam” untuk soalan yang sama, namun, selautan terima kasih saya tujukan kepada Abah dan Ummi.

Abah, lepasan kelas pertama dari Universiti Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah, Mesir dari 1978-1982, berjaya dalam Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Diploma Pendidikan, serta sempat belajar Sarjana selama setahun, yang akhirnya terpaksa ditinggalkannya penuh redha akibat kesempitan kewangan dari kampung halaman beribu batu jaraknya; serta Ummi yang dibesarkan dengan didikan arwah Tok Ayah dan arwah Mok, cukup mengajar saya tentang masa depan saat kecil usia.

Ummi dan Abah, sangat teringin melihat saya mendapat pendidikan tertinggi, dan saya dihantar ke sekolah terbaik pada hemat mereka. Saya sedar dan terharu, Ummi mahukan yang terbaik dalam hidup saya, dan Abah inginkan saya menyambung pelajaran terus ke Sarjana dan Doktor Falsafah, sebagai galang ganti nasibnya yang tidak kesampaian.

Daripada situlah bermulanya perjalanan saya mencari ilmu, yang makin dicari makin terasa kedaifan diri, dan makin terasa lebih banyak yang ingin diketahui.

Seingat saya, pertama kali saya berimpian mempunyai gelaran dan jawatan “Prof. Dr.” ialah semasa saya menukar nama di emel saya yang kedua, dan saya telah meletakkan “Prof. Dr. Sidqi” sebagai nama saya, namun akhirnya terpaksa diubah kerana mengelirukan penerima. Itu bertahun-tahun dahulu.

Baiklah, itu impian saya. Namun segalanya makin bermakna apabila pensyarah Sejarah saya yang pertama di UIAM, Assoc. Prof. Dr. Mesut Idriz, yang memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil bidang Sejarah dan Tamadun di UIAM, telah memanggil saya “professor” semasa di dalam kelasnya, Introduction to History and Civilization. Dan panggilan itu saya kenang sampai bila-bila, tambahan pula seorang rakan sekelas saya itu masih memanggil saya sebegitu, “professor”.

Pada 2007, saya berkesempatan menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Bahagian Alumni dan Khidmat Kerjaya UIAM [Alumni and Career Services Division] di Port Dickson, dan kami digandingkan bersama pelajar antarabangsa. Salah seorang daripadanya, berasal dari benua Afrika yang saya lupa namanya, juga memanggil saya sebegitu, “professor”.

Dan Selasa lepas, ketika sedang melayan cakap-cakap Soffiya sambil mengajarnya, dia terbaca suatu nama seorang professor doktor, dan lantas dia mengubahnya kepada “Professor Doktor Sidqi”, sambil meneriakkannya kepada saya dengan senyuman.

Indah. Alhamdulillah.

Ini bukanlah bangga diri, tetapi refleksi dan monolog yang saya zahirkan sebagai doa.

Amin.

Bacaan lanjut:

http://en.wikipedia.org/wiki/Professor

http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_of_Philosophy

http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_%28title%29

1 comments:

Ruhiyah Sakinah said...

May Allah Fullfill all ur wishess...aminn
nak tgk prof sidqi one day