Thursday, June 17, 2010

impian yang tertunai pada suatu tengah malam

Apabila pelajar baru Pusat Asasi UIAM selesai mendaftar di Kampus Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya, saya menyangka khidmat saya telah selesai. Kepuasan jelas memekar apabila usaha saya membantu mereka tercapai. Sungguh tiada yang lebih saya inginkan, melainkan mereka dapat melanjutkan pelajaran dengan sebaik mungkin demi membantu diri, keluarga dan ummah ini.

Mereka pelajar baru itu, ada bertanya, untuk apa saya susahkan diri menjawab hampir kesemua soalan yang mereka ajukan, yang saya kira relevan. Saya tersenyum, dan menjawab, IIUM is among my deepest passions. Saya bukanlah menolong kerana berlagak baik, tapi saya membantu kerana saya bangga dengan mereka semua yang datang ke UIAM, di sini saya membesar, dan berharap, agar kamu semua juga membesar di taman ini.

Namun, tengah malam Ahad 30 Mei lalu, sempat saya bertandang ke bilik seorang kawan, Azfar, dan dia terus bertanya saya, adakah saya tidak sibuk pada esoknya, untuk menggantinya bagi menolong IIUM Health Centre (klinik UIAM) melakukan pemeriksaan kesihatan (medical check-up) bagi pelajar baru Pusat Asasi UIAM tersebut. Kebetulan memang saya tidak sibuk sepanjang hari esoknya, dan teruja dengan tawaran itu, saya terus bersetuju, tanpa banyak soal.

Syaratnya senang sahaja, saya mesti berada di Klinik UIAM pada jam 6.30 pagi esoknya, dan saya mesti bekerja mengikut keperluan yang akan ditetapkan. Pakaian bersesuaian, makanan disediakan, dan ada elaun. Tapi yang lebih menarik-narik minat saya ialah, saya berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan, yang walaupun jauh beribu batu daripada impian saya untuk menjadi doktor dulu, namun baunya, sekurang-kurangnya, tetap sama.

Walaupun tertidur kurang lebih pukul 2.30 pagi, saya berjaya bangun awal dan bersiap-siap ke Klinik UIAM.