Saturday, June 19, 2010

medical check-up: tuan haji wahab

Saya mula mengenali Tuan Haji Wahab ketika saya ditugaskan untuk Urine Test pada hari pertama medical check-up lagi.

Anda gelak mendengar Urine Test ya? Percayalah, saya seronok dan teruja melakukannya :) Sekali lagi, celup-celup buang :)

Bersama Tn. Hj. Wahab, banyak yang saya sempat pelajari. Semestinya, bermula daripada prosedur Urine Test itu sendiri, daripada mengisi urine ke dalam Urine Bottle, mencelup, membaca kadar pertukaran warna alat pencelup sehinggalah menulis laporan Urine Test dalam setiap borang medical check-up pelajar.

Namun ada satu perkara yang tak akan saya lupakan.

Rasanya hari itu hari Rabu, 2 Jun, pagi, dan itu ialah slot pelajar perempuan. Sedang kalut melakukan Urine Test, ada seorang pelajar perempuan bukan bermuka Melayu datang kepada saya, dan Tn. Hj. Wahab ada di sisi saya, seperti kebiasaannya.

Pelajar itu bertanya kepada saya, atau mungkin kami:

Pelajar: What I’m supposed to do?

Saya dihinggapi syaitan, dan terus menyangka Tn. Hj. Wahab mungkin kurang fasih berbahasa Inggeris, lantas saya menjawab:

Saya: Well you are supposed to do the Urine Test.

Pelajar itu kaget dan sedikit terpinga-pinga. Memanglah dia datang untuk Urine Test kan?

Saya: OK, put all your belongings there – sambil menunjuk pada suatu sudut lantai – and go take your urine, quarter of the bottle. All right?

Tn. Hj. Wahab hanya diam dan terus sibuk melakukan Urine Test kepada sekelompok pelajar perempuan lain, yang melihat-lihat saya bercakap Bahasa Inggeris. Saya dihinggapi seekor lagi syaitan hitam, ada sum’ah di pinggir hati.

Selepas pelajar itu datang dengan botolnya yang telah terisi, tahulah bahawa dia hanyalah anak mami dari Pulau Pinang, tapi Bahasa Inggerisnya bagus untuk seusianya.

Selesai tugasan itu, dengan dua orang anak mami yang berbahasa ibunda penjajah :)

Esoknya, atau mungkin lusanya…

Tn. Hj. Wahab banyak bercerita kepada saya, sangat banyak yang dikongsi oleh beliau. Saya tidaklah terlalu kagum sebenarnya, sehinggalah beliau memberitahu saya tentang asal tempat belajarnya dahulu.

Kamu tahu di mana dia telah belajar dahulu? Seorang ahli makmal yang kerjanya melakukan ujian ke atas darah dan air kencing, juga mungkin najis di Klinik UIAM Gombak?

Ini kisah beliau…

Daripada lembut tuturnya mengisahkan kepada saya, beliau mula-mula melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, di Texas lebih tepat, dalam tahun-tahun 60-an, kemudian menyambung ke New Zealand, dan seterusnya Australia! Kamu bayangkan berapa ramai anak Melayu yang belajar di luar negara dalam tahun-tahun sebegitu?

Patutlah, dalam umur mencapai pertengahan 60-an, beliau tetap pakar bekerja.

Dan katanya lagi, “saya ni Sidqi, dah hampir separuh dunia saya pergi…”

Saya terlopong. Lalu beliau terus bercerita, sedang saya lantas malu pada keangkuhan dalam hati, yang pasport pun tidak pernah saya miliki :)

Beliau bukan menempelak saya, tapi bercerita pengalaman hidup. Saya belajar tentang kehidupan, tentang ilmu, tentang dunia, dan tentang perempuan dari seorang lelaki ini. Beliau bagaikan ayah, bagaikan datuk kepada saya.

Kepada saya, selain memanggil dengan nama saya, Sidqi, beliau juga memanggil ‘adik’ kepada saya terkadang-kadang :)

Terima kasih, Tuan Haji :)

Janganlah berlagak, wahai hati. Subhanallah wal hamdulillah.

Sum’ah : perasaan takbur dan riak serta bangga diri yang disebabkan oleh pertuturan lidah.

2 comments:

Anak Perelih said...

Assalamualaikum.,... cerita ini mengingatkan saya tentang seorang ahli jemaah tabligh di negeri saya Perlis... dia ni kerja jual bihun sup sahaja di dekat rumahnya di Behor Mali... selalu juga dia ke KL - Masjid Sri Petaling utk keluar 40 hari... saudara tau dia pernah ke NZ, Australia, Jepun, South America, US ikut jemaah Tabligh... masa transit di US utk ke south america... imigresen US terkejut tengok dia biasa biasa je tetapi passport penuh cop antarabangsa...

MuhammadSidqi said...

Anak Perelih: Allah Maha Mengurniakan rezeki kepada hambaNya :)