Saturday, June 19, 2010

lelaki tua mencari menantu

Semalam, sambil menunggu makan malam, Abah bercerita lagi.

Kisah orang dahulu mencari menantu :)

Dikhabarkan pada suatu perjamuan kenduri, seorang tua sedang mencari menantu, suami kepada anak gadisnya yang sedang ranum di rumah. Dan yang dicarinya, ialah seorang lelaki yang tapak tangannya ber‘garam’, dalam istilah Kelantan, atau, kasar dalam bahasa Melayu kebangsaan.

Ini kerana, bergaramnya tapak tangan seorang lelaki itu, adalah kerana kuatnya dia bekerja keras, menebas menerung, mencangkul menggali, memukat mengail. Bertuahlah sesungguhnya pada zaman dahulu, jika mendapat suami dan menantu yang rajin sebegini. Dan pada pengalaman saya, zaman yang saya maksudkan sebagai dahulu ini, bukanlah terlalu lama, cuma mungkin lebih sedikit dari umur saya, sekitar tahun 80-an, 70-an dan ke atas. Sekarang pun, di kampung-kampung, jika bakal suami dan menantu itu kerjanya kerja kampung, di sawah dan di ladang, aturan ini masih dipakai lagi.

Lelaki tua ini mencari dengan cara menyalami setiap anak muda yang hadir, merasai kasar lembut setiap tapak tangan semasa bersalam.

Ditakdirkan, berjumpalah ia dengan yang bergaram tangannya. Maka disuruhnya duduk, “duduk mmeta awe…”

Dipendekkan cerita, berkahwinlah si pemuda dan anak gadis lelaki tua tadi.

Tinggallah serumah mereka, dan pagi esoknya, ketika Subuh, lelaki tua tadi terdengar ‘seghah-seghah’ persis orang menggosok-gosok dinding kayu dari dalam bilik pengantin, dan ditanya menantu barunya tentang apa yang sedang dilakukannya, “mu wak ggapo tu awe bbunyi seghah-seghah tu?”.

Dijawabnya, sedang mengukur dinding bagi menggantikan papan dinding yang telah usang, “ambo duk ngukur dinding ni ayoh, keno tuka doh bo kalih pape ni…”

Senyum ayahanda, rajin menantu baruku.

Beberapa hari kemudian, mungkin kerana kemarau, hampir keringlah telaga di belakang rumah, dan si menantu diminta turun tuk menggali sedikit lagi dan mengorek buang selut yang termendap di dasar telaga. Turunlah ia mengorek menggunakan sigai, dan setelah siap, dia memanjat keluar menggunakan sigai sampailah ke puncak sigai, melebihi paras telaga dan tanah. Lalu ditanya oleh ayahanda, kenapa sampai ke puncak sigai dipanjat, sedangkan sudah sampai ke paras telaga dan tanah, “guano awe panjak sapa ko pucok siga tuh?”. Dijawabnya, mahu melihat lembu kerbau ayahanda, ke mana lepas bebasnya, “nok tengok lembu kuba ayoh ni, duk mmano doh ni…”

Tersenyum lagi lelaki tua itu, baguslah, menantuku orangnya terpilih.

Alkisahnya, anda tahu di sebaliknya?

Di pesta perjamuan, pemuda tadi bergaram tangannya kerana tidak berbasuh selepas makan, dan makanan kering begitu sahaja di tapak tangannya.

Pada pagi hari, pemuda itu meraba-raba dinding rumah kerana tiada ia berjumpa akan pintu keluarnya.

Dan ketika di telaga, memanjat ia sampai ke puncak sigai kerana tiada ia berjumpa tebing telaga itu.

Anda sudah tahu kenapa?

Pemuda itu sebenarnya rabun!

Ia tidak berjumpa air basuhan tangan di kenduri, tidak berjumpa pintu bilik, dan tidak berjumpa akan tebing telaga. Kasihan.

Hari-hari seterusnya, saya tidak tahu apakah nasib mereka sekeluarga :)

Abah menceritakan, kerana adik saya yang bongsu suka benar membaca dengan sangat dekat antara mata dan buku. Jaga-jagalah mata ya :)

Sigai – tangga daripada buluh yang digunakan tuk memanjat ke tempat tinggi, seperti pokok kelapa, dan menuruni telaga.

3 comments:

deela said...

suka..=)

MuhammadSidqi said...

haha nape suke? nak laki cmni ye? :p

mohamad ridhuan abdullah said...

a good story and in depth philosophy.. old folks stories are full of wisdom.