Thursday, June 17, 2010

penjual akhbar istimewa

Sabtu, 12 Jun 2010.

Setelah berjam-jam saya belajar tentang kehidupan yang belum pernah saya terokai, sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, yang akan saya kenang selagi diizinkan, saya sampai di bandar Kota Bharu ketika subuh hampir habis. Bergegas ke Masjid Al-Baroah di Pasar Siti Khadijah dan kemudian menunaikan tanggungjawab yang telah dijanjikan.

Saya balik dengan Abah pagi itu, dan sebelum saya ke tempat Abah menunggu, di balik rimbunan pokok di belakang Pizza Hut Kota Bharu, saya singgah di gerai akhbar di hujung bangunan Pejabat Pos di tengah-tengah bandar, berdekatan EON Bank. Tika hampir, saya terdengar penjualnya sedang bertutur dan susah payah saya menangkap butir bahasanya. Membayar harga Utusan Malaysia, RM 1.50, saya sekali lagi mendengar penjualnya bertutur, sedikit-sedikit mula saya fahami.

Tahulah saya, beliau mempunyai masalah bertutur, kemungkinan disebabkan penyakit yang baru dialaminya. Tuturannya seperti budak, susah difahami walupun susah jua beliau berusaha.

Saya insaf. Beliau yang mempunyai kekurangan, namun tetap berusaha.

Petang ini, akan saya singgah lagi di gerai akhbarnya.